Polis berjaya menahan lima lelaki warganegara Bangladesh berhubung dengan penahanan yang dibuat sebelum ini oleh pihak polis terhadap seorang ibu yang berusia 36 tahun kerana disyaki melacurkan dua orang anak perempuannya.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kesemua suspek yang berumur antara 28 hingga 42 tahun itu di tahan awal pagi tadi.


Tambahnya lagi, kelima-lima suspek didapati bekerja di kilang yang terdapat di sekitar Senai dan Kulai.

“Semua suspek dibawa ke mahkamah tengah hari tadi untuk mendapatkan perintah tahanan daripada Mahkamah Majistret di sini.

“Kelima-lima suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Mohd Khalil sebelum ini dilaporkan berkata bahawa penahanan terhadap wanita tersebut selepas dipercayai dua anak perempuannya, masing-masing berusia 8 dan 10 tahun dilacurkan olehnya kepada warga asing.

Wanita warga tempatan itu ditahan oleh pihak berkuasa di sebuah rumah di Senai, Kulai pada Rabu lalu.

BACA : Ibu ‘Binatang’, Lacurkan Dua Anak Kepada Warga Bangladesh