OHOR BAHRU: Enam individu, termasuk seorang wanita ditahan reman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Ahad lalu.

Difahamkan, empat lagi individu ditahan awal pagi tadi di sekitar bandar raya ini menjadikan keseluruhan yang ditahan seramai enam orang, termasuk seorang lelaki dan seorang wanita yang ditahan semalam.

Majistret Noor Aisyah Ahmad membenarkan permohonan polis mendapatkan reman dan memerintahkan semua suspek ditahan selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, selepas tiga hari berada di Pusat Peringatan Nirvana di Jalan Skudai, dekat sini, mayat mendiang mangsa pembunuhan kejam itu dibawa ke Taman Peringatan Jelutong di Melaka untuk disemadikan, pagi tadi.

 

Ahli keluarga mendiang tiba seawal jam 8 pagi untuk memberi penghormatan terakhir sebelum mendiang dibawa menaiki kenderaan mayat jenis Mercedez E250 CGI, kira-kira jam 9.50 pagi.

Turut kelihatan, wanita dipercayai isteri mangsa, yang juga warga Vietnam serta anak lelaki mangsa.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa maut selepas ditikam sebelum dilanggar dan digilis ketika mengisi angin tayar di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di sini.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada dada kiri.

Sebelum serangan, mangsa bersama isterinya yang menaiki Volkswagen Polo berhenti di stesen minyak terbabit untuk mengisi angin tayar kereta.

 

sumber: https://www.bharian.com.my